Tahan sakit terkoyak kulit kaki – Kepoh Kuat

Posted on

KOTA BHARU – Seorang murid tahun satu menahan kesakitan apabila kulit kakinya terkoyak akibat tersepit pada lidi rim motosikal yang diboncengkan bersama ibu saudara dalam kejadian di Kampung Lembah, Pasir Puteh, semalam.

Zayyan Nazhan Zulkifli, 7, ketika itu membonceng bersama Rogayah Mat Yusoff, 28, dan seorang lagi sepupunya, Amirul Hanif, 11, ketika pulang dari Sekolah Kebangsaan Gong Garu menuju ke rumah mereka di Kampung Taweh, Pasir Puteh, pada jam 1.30 petang.

Seorang lagi ibu saudaranya, Fazilah Mat Yusoff, 22, berkata, tidak sampai satu kilometer perjalanan,  Zayyan Nazhan yang duduk di tengah-tengah antara Rogayah dan Amirul tiba-tiba menjerit kesakitan menyebabkan kakaknya itu memberhentikan motosikal.

“Apabila motosikal diberhentikan, kakak saya yang menoleh ke belakang melihat sebahagian kaki Zayyan tersepit pada lidi rim motosikal sambil darah mengalir dengan banyak dari bahagian kaki Zayyan.

“Orang ramai yang ada ketika itu membantu mengeluarkan kakinya yang tersepit pada lidi rim itu dan kemudian mengusungnya masuk ke dalam kereta untuk dibawa Hospital Tengku Anis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, oleh sebab luka yang dialami anak sulung dari tiga beradik itu agak serius, mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di sini dan menjalani ujian X-ray.

“Kami belum tahu keadaan kakinya sekarang dan masih tunggu makluman daripada doktor sama ada kecederaan itu kena pada urat kaki atau tidak atau berapa jahit yang akan diterimanya nanti.

“Ketika ini (petang, semalam) Zayyan sudah tidak menangis walaupun kakinya masih berdarah,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Nor Akmal Mohamad Ghani kini berada di Hospital Selayang, Selangor, kerana baru tiga hari bersalin anak ketiga.

“Saya menghidap penyakit jantung dan hypo tiriod serta baru sahaja keluar dari Unit Rawatan Rapi selepas bersalin, manakala bayi pula terpaksa ditahan wad kerana jaundis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *